Wednesday, 10 April 2013

Salam PRU 13 dari Turki

Mengikuti perkembangan politik di Republik Turki dan Malaysia adalah suatu yang cukup menarik.Turki dan Malaysia adalah di antara negara contoh bagi negara Muslim terutamanya selepas Arab Spring yang berlaku di tanah Arab.

Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan telah membuktikan kejayaan mereka di dalam dan luar negara. Kurangnya gejala rasuah, sistem pengurusan yang semakin baik, kurangnya konflik dalaman dan ekonomi yang semakin kukuh.


Dari tahun 2002,ekonomi Turki telah meningkat dari tangga 26 kepada tangga 16 dunia sekarang. Malah di dalam misi 2023,Turki telah meletakkan target untuk menjadi diantara 10 kuasa ekonomi terkuat dunia.


Polisi Luar Turki


Setelah beberapa kali percubaan Turki untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU), kerajaan Turki telah menukar pandangannya kepada negara-negara selatan (Afrika dan Amerika Latin), dan negara-negara Timur (Asia Tengah, Timur Tengah, Cina dan India).

Jika sebelum ini, Turki yang hanya melihat kepada Barat telah mengubah polisinya dengan membuat hubungan yang baik dengan negara-negara Arab,sebagai contoh dengan menambah penerbangan setiap hari ke negara-negara seperti Yaman dan juga Lubnan, menghapuskan visa dengan Republik Syria dan juga telah menandatangani projek keretapi laju Istanbul-Madinah yang akan merentasi Republik Syria dan Jordan.

Antara misi 2023 Turki adalah misi menghapuskan visa bagi passport Turki ke seluruh dunia. Sejak tahun 2002, terdapat 46 negara yang tidak diperlukan visa bagi warga Turki(visa percuma) dan telah meningkat kepada 64 negara pada tahun 2012. Malah angka itu akan ditingkatkan kepada 196 negara yang wujud di dunia sekarang sehinggalah menjelang tahun 2023.

Polisi 'tiada konflik' dengan negara-negara jiran yang diperkenalkan oleh Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu juga memberikan kesan yang begitu baik. Setelah berlakunya kebangkitan Arab pada 2010, Turki adalah di antara negara yang terawal menyokong kebangkitan rakyat samada di Tunisia, Libya, Mesir dan turut tidak ketinggalan Republik Syria.

Pada September 2011, Perdana Menteri Erdogan di dalam siri lawatannya ke negara Tunisia, Mesir dan juga Libya,setelah berlakunya revolusi arab,telah berjaya membawa 200 orang usahawan Turki untuk mengukuhkan ekonomi di negara-negara ini di dalam pelbagai bidang seperti petrolium, telekomunisasi, pengangkutan, perkhidmatan dan juga pendidikan.

Di dalam persaingan dengan dunia luar seperti AS, Perancis dan IMF, Republik Turki telah menjalinkan hubungan yang cukup baik di dalam jangka masa yang panjang.


Perjuangan dalam isu Palestin


Tambahan pula, Turki turut membuktikan usaha mereka dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Bermula dengan kisah 'one minute' di Davos pada Januari 2009, semasa perdebatan diantara Perdana Menteri Erdogan dengan Presiden Israel Shimon Peres yang berakhir dengan Perdana Menteri Erdogan bangun dan meninggalkan ruang perdebatan itu.

PM Erdogan juga dengan lantang sekali mengutuk kekejaman dan pembunuhan yang telah berlaku di Gaza.

Setiap kali berlangsungnya persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Erdogan dan Ahmet Davutoglu berulang kali mendesak untuk diberikan satu kerusi kepada Palestin di dalam PBB.Dan hasilnya,pada Februari 2013,usaha mereka telah berjaya, Palestin telah diberikan pengiktirafan dengan diberikan satu kerusi di dalam PBB.

Selain itu, Turki turut mendesak Israel untuk menarik embargo (sekatan) terhadap Gaza yang dikepung, sehinggalah Israel akhirnya terpaksa akur dengan menarik balik sekatan ekonomi itu. Dan yang terbaru, pada awal April, Israel juga telah memohon maaf kepada Turki dalam isu serangan kapal Flotilla Mavi Marmara yang telah mengakibatkan kematian 9 warga Turki.



Biasiswa kepada pelajar luar


Turki merupakan diantara negara yang memberikan pendidikan secara percuma kepada seluruh warganegaranya. Malah, setiap tahun, kerajaan Turki akan menyediakan biasiswa penuh kepada orang luar untuk belajar di Turki bermula di peringkat sarjana muda sehinggalah PhD.

Projek biasiswa Turki ini akan menaja lebih 3000 hingga 4000 orang pelajar luar Turki setiap tahun. Misi utama mereka dalam projek ‘pelaburan’ ini adalah untuk mengembangkan bahasa Turki ke seluruh dunia.

Malah yang terbaru, Perdana Menteri Erdogan telah mengumumkan untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada warga asing yang berada di Turki tidak kira samada pelajar, pekerja ataupun pelancong dengan menganggap mereka ini adalah musafir.

Misi dan projek yang dirancang secara rapi oleh Turki ini adalah satu misi yang cukup besar untuk satu jangka masa yang panjang. Negara luar sedang melihat apa yang dilakukan oleh Turki. Turki merupakan negara contoh bagi negara Arab yang baru mahu membangun dalam acuan demokrasi. Apakah misi ini akan berjaya untuk membentuk satu empayar Othmaniah baru (the new Ottoman) ?



Malaysia pada 5 tahun lepas dan PRU 13


Malaysia juga merupakan sebuah negara yang dipandang tinggi oleh warga dunia terutamanya dari dunia Islam. Malaysia adalah di antara negara yang pesat membangun dan kaya dengan sumber-sumber asli.

Pada tahun 1992, Malaysia adalah negara yang terlibat secara langsung di dalam usaha menangani isu Kosovo. Malaysia juga lantang dalam membincangkan isu Palestin.Dalam bidang ekonomi pula, Malaysia juga ke hadapan di dalam memperkenalkan ekonomi Islam.




Namun itu dulu.

Menjelang Pilihanraya Umum 13 ini, saya sebagai rakyat marhaen yang memerhati dari jauh perkembangan politik tanah air juga ingin memberikan komentar selama pemerintahan kerajaan 5 tahun yang lepas di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak. Di manakah Malaysia di mata dunia?

Bermula dengan isu pembelian kapal selam “scorpene” dan isu pembunuhan Altantuya Sharibuu yang merupakan warga Mongolia sehinggalah melibatkan mahkamah Perancis. Isu fitnah liwat Datuk Sri Anwar Ibrahim yang berakhir di mahkamah menunjukkan ia adalah fitnah.

Malahan yang terbaru, isu kekayaan negeri Sarawak yang telah diboloti oleh satu keluarga yang dibongkarkan oleh satu badan berkecuali dari luar negara, Global Witness. Isu-isu seperti ini telah memberikan pandangan buruk kepada warga dunia yang mengenali Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang pesat membangun.

Malaysia turut mempunyai hubungan yang kurang baik dengan negara-negara jiran seperti Filipina dengan isu yang terbaru,iaitu pencerobohan pengganas di Lahad Datu yang tidak ditangani dengan bijak selain daripada isu-isu dengan kerajaan Singapura dan Indonesia.

Kalau kita melihat dengan lebih jauh, Malaysia kelihatan lemah dan lembap di dalam beberapa isu kemanusiaan seperti isu pembunuhan umat Islam Rohingya di Arakan, malahan Malaysia juga masih belum memberikan apa-apa respon terhadap isu Syria.

Selain daripada rakyat Malaysia, warga dunia juga sedang memerhati secara dekat PRU 13 ini dengan mengharapkan satu perubahan yang akan berlaku. Oleh itu, menjelang PRU 13 ini, kami rakyat Malaysia mahu mendengar apakah polisi-polisi luar yang akan di bawa oleh parti-parti yang akan bertanding dan seterusnya akan menerajui Malaysia.

Dengan polisi-polisi inilah, rakyat Malaysia akan memilih untuk mengundi siapa. Kami tidak mahu taburan wang, politik fitnah menfitnah, dan manifesto murahan. Kami rakyat Malaysia sudah matang dan bijak.

Salam PRU 13 dari Turki.

Syafiq Shafii

Pelajar Master (Falsafah dan Agama) di Universiti Necmettin Erbakan, Turki.