Sunday, 21 April 2013

Fiqh Daulah (Feqah kenegaraan)

Fiqah Daulah Dalam Perkspektif Al-Quran Dan Sunnah adalah sebuah kitab yang dikarang oleh Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi  Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia . Baca di :


Berikut adalah siri video kuliah Fiqh Daulah yang disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Hj Haron Din Al-Hafiz.


cebisan dari kuliah Fiqh Daulah oleh Tuan Guru Haron Din dipetik dari http://amalbahtera.blogspot.com/

"Agama itu suci, politik itu kotor." Slogan yang cukup terkenal yang dicanang oleh musuh-musuh Islam. 


Pada siri kuliah pertama Fiqh Daulah ini, muqaddimah yang cukup ringkas, Tuan Guru Dato' Dr. Hj Haron Din Al-Hafiz telah memulakan perbahasan dengan membawa gambaran yang cukup jelas tentang suasana dan kerangka masalah yang melanda umat islam akhir zaman pada masa ini. 

 "Agama itu suci, politik itu kotor, tidak boleh dicampur antara agama dan politik." Ia adalah kata-kata biasa yang kita dengar daripada sesetengah manusia yang menerima Al-Quran sebagai kitab mereka.


Ya sememangnya Islam itu suci manakala politik itu kotor, tetapi politik yang kotor itu adalah politik barat, bukan sama sekali politik Islam.
Sebenarnya, ia tidak lain tidak bukan adalah slogan yang telah berjaya dibius masuk ke dalam pemikiran umat Islam pada zaman ini.
Ia antara method yang paling ampuh untuk melemahkan umat Islam sepanjang zaman, memdoktrinkan slogan sebegitu rupa dalam pemikiran mereka, memisahkan Islam daripada politik pemerintahan.
Apabila Islam tidak memerintah dan tidak berkuasa untuk memerintah serta mentadbir, maka tuntasnya kuasa umat Islam itu sangat terhad dan amat terbatas untuk menjalan serta menegakkan syaria't Allah secara menyeluruh di atas muka bumi ini.


Jelas, umat Islam bagaikan tiada kuasa untuk mendaulatkan perundangannya, tiada kemampuan untuk meletakkan Al-Quran di tempat yang tertinggi di dalam perlembagaan negara. Seharusnya diingat, ia merupakan agenda jahat untuk melumpuh seterusnya menghapuskan Islam.


Bahana yang melanda umat Islam pada waktu ini adalah kesan apabila mereka menjauhkan Islam daripada politik pemerintahan, apabila mereka meletakkan Islam hanya sesuai untuk berada di masjid, di kuliah-kuliah ilmu, di madrasah-madrasah, di majlis perkahwinan, majlis tahlil, majlis kematian atau sebagainya. 
Mereka tidak merasakan bahawa Islam itu wajar dan seharusnya berada di suatu tempat yang tinggi bagi memerintah negara dan mentadbir dunia ini.
Ia bala yang cukup besar bagi umat Islam kerana kejahilan mereka sendiri tentang Fiqh Daulah atau Fiqh Kenegaraan.

Saya kira sudah ramai sedia maklum tentang Maqasid Syar'iyah. Syari'at dan perundangan Islam itu menjaga berapa perkara yang cukup besar dan penting dalam kehidupan manusia, ia di sebut Maqasid Syar'iyah:

1. Agama
2. Nyawa
3. Aqal
4. Keturunan
5. Harta

Apabila kita melihat kepada perundangan Islam ini, tidak sedikit di kalangan umat Islam merasa gerun dan gentar akan undang-undang ini malahan terlintas difikiran mereka menganggap ia kejam dan zalim.
Mereka gerun kerana tidak faham akan falsafah dan hikmah sebenar yang terdapat dalam undang-undang tersebut. Mereka berfikiran begitu kerana mereka terpengaruh dengan doktrin jahat.


Sebenarnya ia bertambah parah apabila salah faham terjadi kerana terpengaruh dengan dakyah dan ideologi yang disesarkan dalam pemikiran mereka bahawa undang-undang Islam ini kejam. 
Malahan lebih malang lagi apabila orang Islam itu sendiri menjaja dan mempromosikan fahaman yang dilaknat oleh Allah ini.
Undang-undang Islam cukup adil dan besar hikmahnya di sisi Allah. Ia sesekali tidak kejam dan zalim kepada manusia. Contohnya amat jelas jika dilihat dalam hukum hudud, hukuman sebat boleh dijalankan dengan menggunakan kain.


hikmahnya jika menggunakan kain? Walhal mungkin langsung tidak memberikan kesan yang besar kepada fizikal pesalah. 
Inilah falsafah perundangan Islam, mendidik manusia, bukan menghukum. Kebenaran Islam itu bukan dibuktikan dengan Aqal, tetapi dengan Wahyu.
Atas barakah perundangan Allah itulah, maka dikurniakan keampunan di sisi Allah atas kema'siatan yang dilakukan.


Antara falsafah yang cukup besar dalam undang-undang Islam ini adalah, sepastinya dijanjikan oleh Allah bahawa pesalah akan mendapat keampunan atas segala dosa yang dilakukan apabila menerima hukuman. Dosa-dosa kema'siatan mereka akan diampunkan oleh Allah.
Tetapi tidak perundangan manusia, walaupun mendapat hukuman yang berat di dunia, tetapi belum tentu kesalahannya diampunkan oleh Allah di akhirat kelak.
Sebelum memasuki perbahasan tajuk pertama Fiqh Daulah ini, seharusnya diketahui beberapa perkara yang menjadi rukun terbentuknya sebuah Daulah(Negara), Rukun Daulah:

1. Tanah air(tempat untuk didirikan sebuah negara)
2. Rakyat(manusia yang mendudukinya)
3. Ketua negara (mengurus dan mentadbir)
4. Undang-undang (mengawal negara)
5. Kedaulatan (pengistiharan sebagai sebuah negara tanpa ada pihak lain yang boleh menceroboh)


Sesungguhnya manusia tidak dapat menyelesaikan masalah manusia kecuali Allah. Hanya Allah yang berkuasa menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan manusia, hanya perundangan Allah sahaja yang akan mampu menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
Islam itu adalah agama, negara, dan juga undang-undang, malahan meliputi keseluruhan kehidupan manusia itu adalah agama.


Wallahua'lam.