Friday, 5 April 2013

Kecelaruan apabila fakta sejarah dinovelkan

Novel sejarah Hijrah Karya Abdul Latip Talib terbitan PTS telah pun ditarik balik dari pasaran berikutan dakwaan berlakunya penyelewengan fakta yang dikemukakan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil  dalam satu seminar di sebuah IPTA baru-baru ini. Ustaz Hasrizal yang juga merupakan seorang blogger terkenal banyak memberi teguran terhadap novel ini dalam laman facebook dan web beliau selain membentangkan kajiannya dalam satu seminar di kampus tentang penyelewengan fakta yang agak ketara di dalam novel berkenaan terutamanya berkaitan kecelaruan metod penulisan yang telah digunakan oleh novelis berkenaan. Ia menjadi kritikal apabila turut menyentuh aspek Sirah Nabi yang menurutnya sarat dengan fiksyen yang terkandung dalam novel berkenaan. Kesilapan fakta yang bercanggah dengan akademik dan sirah dikatakan antara punca utama penyelewengan novel ini.


Kritikan berkenaan turut menyentuh tentang aspek penjenamaan ke atas novel berkenaan yang menurutnya akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan memberi mesej yang salah untuk difahami khususnya berkaitan Islam.

Setelah penarikan balik novel tersebut , Ustaz Hasrizal telah menerangkan serba sedikit punca mengapa novel ini wajar ditarik balik dan diperbetulkan di laman web beliau Saifulislam com. : Penarikan Semula Novel Hijrah Dari Pasaran: Kenyataan Media Oleh PTS

Tindakan Ustaz Hasrizal disokong oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin melalui status laman facebook beliau :
''moga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada Ustaz Hasrizal Jamil yang mendedahkan kandungan yang tidak benar yang termuat dalam tulisan Abdul Latip Talib..buku-buku tulisan penulis berkenaan boleh merosakkan hakikat sejarah dan menyelewengkan fakta mengikut selera penulis...niat baik tidak memadai jika diikuti dengan tindakan yang salah..sebab itu Nabi s.a.w menyatakan "Sesiapa yang berdusta menggunakan namaku dengan sengaja maka siap tempat duduknya dalam neraka" (hadis mutawatir)..sekalipun jika seseorang mengadakan hadis palsu dengan niat baik, dia tetap melakukan dosa besar iaitu pembohongan fakta atas nama rasulullah s.a.w..sejarah juga tidak boleh dibohongi ataupun diada-adakan hanya kerana niat yang baik..awasi buku-buku penulis berkenaan...''

Berkenaan dengan sokongan Dr.MAZA tersebut ustaz Hasrizal telah memberi komentar beliau seperti berikut di laman facebook :
''Segala puji bagi Allah, mengurniakan kebaikan yang diminta dan yang tidak diminta oleh para hamba-Nya. 
Sokongan Dr MAZA besar maknanya buat usaha ini. Mudah-mudahan ia menambah keyakinan masyarakat, bahawa polemik novel sejarah karya Ayahanda Abdul Latip Talib bukan isu peribadi antara Hasrizal dan Pak Latip. Sebaliknya ia adalah isu dasar tempat berpijaknya agama kita. Selepas semakan terhadap novel HIJRAH selesai dengan kritikan kepada manhaj melebihi kritikan terhadap fakta, kajian perlu berpindah kepada novel-novel lain pula.
Selain persoalan keabsahan rujukan yang diguna pakai, novel-novel sejarah yang berikutnya akan melontarkan persoalan-persoalan yang juga kritikal iaitu:
"....Kecenderungan seorang penulis kepada elemen-elemen supernatural seperti mimpi, karamah, keajaiban-keajaiban, yang lazimnya amat jarang didokumentasi, sebaliknya berlegar sebagai sebutan lisan. Sejauh manakah berlakunya kemasukan elemen ini dalam pencerekaan novel terhadap sejarah?"
Kesan baik kepada membaca novel sejarah seperti yang didakwa oleh penghasil novel sejarah ialah ia menimbulkan minat masyarakat kepada sejarah. Bagaimanakah kita mengukur minat masyarakat kepada sejarah itu sendiri? Peranan yang seharusnya dimainkan oleh novel sejarah jika itu dakwaannya, ia mesti menjadikan pembaca novel mahu mendekati sejarah yang sebenar pada sumber-sumber yang benar, kerana novel hanya fiksyen.
Persoalannya, sejauh manakah pembaca novel sejarah, selepas membaca novel sejarah, membaca buku sejarah non fiksyen untuk melengkapkan proses itu? Berapa ramai pembaca novel Hijrah karya Pak Latip, selepas membaca novel itu, dia membaca al-Raheeq al-Makhtoom atau Fiqh Sirah al-Buti, atau Biografi Muhammad bin Abdullah karya Prof Zulkifli Yusof? Siapa yang selepas membaca novel sejarah Khalifah-khalifah yang Benar, membaca terjemahan al-Awasim min al-Qawasim oleh Ibn al-Arabi?
Atau hakikatnya, selepas enak membaca sebuah novel sejarah, pembaca berpindah kepada novel sejarah yang seterusnya. Lalu apa yang terdaftar di kepala pembaca adalah fiksyen-fiksyen bersadur sejarah, dan bukan sejarah yang sebenar?
Andai yang kedua itu berlaku, novel sejarah bukan rakan ilmu sejarah, tetapi musuh kepada ilmu sejarah. 
Ia adalah bid'ah.''
Tonton video ceramah Ustaz Hasrizal tentang isu ini di HASRIZAL-APABILA FAKTA SEJARAH DINOVELKAN


Abdul Latip Talip merupakan antara novelis prolifik. Telah menghasilkan berpuluh-puluh novel dengan memberi tumpuan kepada novel sejarah termasuk sejarah Islam dan juga negara dengan menjadikan watak-watak utama sejarah sebagai bahan utama penceritaannya.

Sedikit komentar aku terhadap isu ini 

Aku harap akan ada lebih banyak teguran yang membina dibuat oleh para ilmuan dalam negara terhadap novel-novel sejarah yang dikeluarkan seperti yang dilakukan Ustaz Hasrizal memandangkan kami orang awam kebanyakannya hanya akan menerima bulat-bulat apa yang terkandung dalam buku terutamanya buku yang berbaur keagamaan . Tambahan lagi novel-novel sejarah islam karya Abdul Latip Talib berjaya mendapat tempat di hati awam kerana gaya penulisannya yang santai dan mudah , awam hanya akan menerima perkara yang terkandung dalam novel berkenaan kerana menyangka apabila sesuatu buku berjaya diterbitkan bermakna tiada isinya yang dapat disangkal kesahihannya. Mungkin buat masa ini untuk menyebarkan kepada awam sejarah islam yang benar dan tepat faktanya  , kita memerlukan gaya penulisan yang sama seperti yang digunapakai pak latip. Memang benar selepas membaca novel sejarah islam tidak semua orang akan beralih kepada karya sejarah yang autentik memandangkan awam kurang mengetahui akan apa yang patut dibacanya bagi mengenali tokoh-tokoh islam tertentu , si ibu seorang suri rumah akan tertarik untuk menghadiahkan si anak novel sejarah islam pak latip dengan harapan anaknya membesar dengan mengenali tokoh-tokoh islam.

Penerbit buku mungkin perlu lebih sensitif akan perkara sebegini kerana ia memang akan membawa kekeliruan terhadap awam. Tahniah kepada PTS dan tahniah kepada ustaz Hasrizal . Awam juga perlu peka terhadap isu seperti ini apatahlagi ia melibatkan sirah para sahabat . Ini kerana pentingnya menjaga sirah para sahabat kerana mereka adalah penyampai syariat daripada Rasullullah S.A.W. Awam memang perlu diberikan pengetahuan tentang perkara ini.