Friday, 6 January 2012

umum ~ apa tuntutan BEBAS ?

Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Jawatankuasa Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bersetuju untuk meletakkan dua prinsip utama yang menjadi asas kepada gerakan kebebasan akademik, iaitu :

1. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum



2. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib

Jawatankuasa BEBAS juga menyenaraikan 6 tuntutan utama gerakan, iaitu :

1) Mansuhkan AUKU dan AKTA 174
BEBAS berpendirian bahawa AUKU dan AKTA 174 perlu dimansuhkan berdasarkan dua teras berikut :
a. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia
b. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 yang mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa

2) Bebaskan ilmuan berakademik
BEBAS menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan dalam perkara-perkara berikut :
a. Para ilmuan mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
b. Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
c. Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan.

3) Bebaskan mahasiswa bersuara
BEBAS menuntut mahasiswa diberi kebebasan bersuara dalam kerangka berikut:
a. Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk belajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
b. Mahasiswa mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
c. Mahasiswa bebas menjalankan apa jua aktiviti seperti demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, seminar, diskusi dan lain-lain aktiviti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.

4. Bebaskan mahasiswa mengurus pilihanraya kampus
BEBAS menuntut supaya :
a. Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri bagi memilih perwakilan pelajar yang bakal memimpin persatuan atau badan induk kepimpinan pelajar.
b. Proses pemilihan pelajar ini dijalankan tanpa sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak sama ada dari sudut sistem, teknikaliti, kempen, pembuangan undi, pencalonan dan lain-lain elemen dalam proses pemilihan yang hanya melibatkan mahasiswa.

5) Bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti
BEBAS menuntut supaya :
a. Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk mengurus tadbir persatuan dan aktiviti persatuan atas kapasiti mahasiswa sendiri.
b. Urus tadbir ini dijalankan oleh mahasiswa tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak termasuk pihak pentadbiran universiti.
c. Hal ini merangkumi segala bentuk pentadbiran persatuan dan aktiviti, kewangan dan perbelanjaan, dana dan tajaan, pengisian dan aktiviti, penerbitan dan publisiti serta apa jua elemen-elemen lain di dalam urus tadbir persatuan.

6) Bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik
BEBAS menuntut mahasiswa diberikan kebebasan berpartisipasi dalam politik sebagaimana berikut :
a. Melibatkan diri atau menjalankan seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.
b. Mahasiswa bebas mengemukakan resolusi, cadangan atau kritikan bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.
c. Mahasiswa bebas menjalankan penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.
d. Mahasiswa bebas menjalankan dan menyertai apa jua aktiviti di dalam dan luar universiti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka.

Muhammad Safwan Anang@Talib
Pengerusi,
Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)