Tuesday, 1 January 2013

Raksasa Pelahap bernama kapitalis

Perkataan kapitalis bererti kesetiaan kepada kekayaan, satu sistem bebas dan tidak terbatas yang berasaskan sepenuhnya kepada keuntungan di mana masyarakat bersaing di dalam kriteria ini. Terdapat tiga elemen penting di dalam kapitalisme: individualisme, persaingan dan membuat keuntungan. Individualisme sangat penting di dalam kapitalisme, kerana masyarakat tidak menganggap diri mereka sebahagian daripada masyarakat, tetapi sebaliknya sebagai satu individu yang berdiri di atas dua kakinya dan perlu mendapatkan sesuatu dengan usahanya sendiri. “Masyarakat Kapitalis”, adalah satu arena di mana setiap individu bersaing di antara satu sama lain di dalam keadaan yang sukar dan kejam. Ia adalah sebuah arena yang digambarkan oleh Darwin, di mana yang gagah akan selamat, yang lemah akan ditindas dan dihapuskan, dan di mana peraturan-peraturan kejam dijalankan.



Berdasarkan logik, kapitalisme adalah berasaskan kepada setiap individu – dan ini termasuk juga seseorang, sebuah syarikat, atau satu bangsa –perlu berjuang untuk pembangunan dan kemajuan diri mereka sahaja. Kriteria yang paling penting di dalam perjuangan ini ialah pengeluaran. Pengeluar yang terbaik akan selamat, sementara yang lemah dan tidak berdaya saing akan dihapuskan dan lenyap. Ia membentuk sistem ini, dengan melupakan bahawa mereka yang telah dihapuskan di dalam perjuangan yang perit ini, mereka yang ditindas dan jatuh miskin, juga adalah “manusia”. Perhatian utama mereka bukannya manusia, tetapi pembangunan ekonomi, dan produk, hasil daripada pembangunan ini. Kerana itulah, mentaliti kapitalis merasa tiada tanggungjawab etnik dan kesedaran kepada mereka yang ditindas dan ditekan, dan mereka yang hidup susah. Darwinismelah yang telah mempraktikkannya di dalam masyarakat melalui ekonomi.

Pada pandangan Herbert Spencer, teori utama Sosial Darwinisme, yang memperkenalkan prinsip-prinsip Darwinisme di dalam kehidupan masyarakat, ialah sekiranya seseorang itu miskin, itu adalah kesilapannya, siapa pun tidak wajar untuk membantunya untuk bangun. Sekiranya seseorang itu kaya, walau pun dia memperolehi kekayaan tersebut dengan cara yang tidak bermoral sekali pun, itu sebenarnya adalah kebolehannya. Kerana itulah orang-orang kaya selamat, dan orang-orang miskin pula lenyap. Pandangan ini telah tersebar luas ke hampir seluruh masyarakat hari ini, dan ia adalah inti pati daripada prinsip-prinsip moral secara Darwin-kapitalis.

Spencer yang mempertahankan prinsip-prinsip moral ini telah menyiapkan hasil kerjanya “Social Statistics” pada 1850, dan menentang semua sistem bantuan yang disediakan oleh kerajaan, perlindungan kesihatan, sekolah-sekolah kerajaan dan inokulasi wajib. Kerana menurut Sosial Darwinisme, kedudukan masyarakat terbentuk daripada prinsip terus hidup yang terkuat. Membantu mereka yang lemah dan menyelamatkan mereka adalah bersalahan dengan prinsip ini. Mereka yang kaya menjadi kaya kerana mereka lebih kuat; sebahagian bangsa menakluki sebahagian yang lain kerana mereka lebih superior daripada yang lain, sebahagian bangsa dijajah oleh bangsa lain kerana mereka lebih bijak daripada mereka. Spencer telah menyerapkan doktrin ini di dalam masyarakat manusia dengan mendakwa: “Sekiranya mereka sempurna untuk hidup, mereka akan hidup, dan memang mereka berhak hidup. Sekiranya mereka tidak sempurna untuk hidup, mereka akan mati, dan adalah lebih baik bagi mereka untuk mati.”

Seperti dilihat daripada penyataan-penyataan ini, Sosial Darwinisme telah menggunakan teori evolusi Darwin sebagai satu ulasan “saintifik” kepada masyarakat kapitalis. Akibatnya, manusia telah kehilangan beberapa konsep yang telah dibawa oleh agama, seperti konsep saling membantu, prihatin dan bekerjasama, dan sebaliknya konsep-konsep ini telah digantikan dengan sifat mementingkan diri sendiri, licik dan secara oportunis.

Seperti yang disaksikan, Darwinisme telah membentuk asas falsafah kepada sistem ekonomi kapitalis di seluruh dunia dan sistem politik yang mengambil contoh daripadanya.
Kerana itulah, penyokong utama masyarakat Darwinisme adalah mereka yang memiliki kekayaan. Peningkatan mereka yang kuat dengan memijak yang lemah dan kepatuhan mereka terhadap kedudukan ekonomi yang jauh daripada perasaan belas kasihan, prihatin dan simpati, sudah tidak lagi dikecam, kerana perbuatan ini telah diterima sebagai selaras dengan “penjelasan saintifik” dan “undang-undang semula jadi”.

Seperti yang dapat disaksikan daripada apa yang telah dijelaskan setakat ini, kapitalisme telah mengheret manusia untuk menyembah wang dan kuasa yang terhasil daripada wang tersebut. Dengan mengetepikan semua nilai-nilai agama dan etnik, masyarakat yang telah terpengaruh dengan saranan-saranan evolusi ini telah mula memberikan tumpuan kepada kuasa material, dan mula menjauhkan diri daripada perasaan belas, kasihan dan pengorbanan.

Dipetik dari buku MALAPETAKA DARWINISMA TERHADAP KEMANUSIAAN by Harun Yahya
Unit : Kapitalisme dan perjuangan untuk hidup dalam ekonomi