Definisi Fiqh
Sedangkan, maksud kepada fiqh itu sebenarnya adalah beerti kefahaman. Yakni kefahaman terhadap sesuatu perkara. Misalnya di dalam disiplin ilmu Islam ada disebut: Fiqh Mu’amalat(Kefahaman terhadap isu-isu sosial dan ekonomi), Fiqh Mar’ah (Kefahaman terhadap isu-isu wanita), Fiqh Zakat (Kefahaman terhadap ibadah zakat dan isu-isu sekitarnya) dan pelbagai lagi.
Dengan kata lain, jika seseorang itu benar-benar memahami sesuatu disiplin ilmu itu, maka dia digelar sebagai fuqaha atau faqih dalam ilmunya. Nabi s.a.w pernah mendoakan kepada Ibnu Abbas dengan doa berikut: “Ya Allah kurniakan kefahaman kepada Ibnu Abbas di dalam urusan agamanya..” (Riwayat Bukhari dalam Fath al-Bari). Lalu beliau menjadi seorang antara sahabat Nabi s.a.w yang sangat faqih di dalam hukum-hakam Islam.
Faqih juga digelar sebagai pakar. Seorang saintis yang pakar dalam ilmu kimia boleh digelar sebagai faqih terhadap ilmu Sainsnya. Begitu juga di dalam bidang-bidang lain. Setiap orang yang pakar di dalam urusan dan bidang ilmu masing-masing layak digelar faqih.
Jika di dalam konteks ilmu Islam, fiqh lebih cenderung difahami oleh masyarakat sebagai menyelesaikan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan hukum-hakam agama dan yang berkaitan dengan urusan hidup dan sosial. Sehinggalah daripada itu timbul fatwa terhadap sesuatu perkara.
Fiqh merangkumi persoalan keseluruhan kehidupan manusia
Keluasan Fiqh
Pernahkah anda bertanya kepada seorang ustaz: “Ustaz, apakah hukum kepada masalah ini?” Lalu ustaz tersebut menjawab dengan memberi berbagai-bagai pandangan ulama seperti: “Menurut Imam Syafie, hukumnya begini..” atau “Jika mazhab Hanafi, berpandangan ia diharuskan..” dan yang sama seperti pernyataan-pernyataan tersebut.
Lalu, apakah yang kita rasa? Tentu agak keliru dan kurang faham, mengapa ustaz itu memberikan pelbagai pandangan ulama. Malah, sesetengah daripada kita yang kurang ilmu agamanya lantas berkata, susahnya agama kita ni, banyak sangat hukumnya! Ada seorang sahabat saya seorang doktor, pernah mengajukan persoalan: “Kenapa dalam hukum banyak sangat pandangan ulama? Sedangkan dahulu belajar mazhab Imam Syafie sahaja?” Saya tersenyum kerana mengerti benar apa yang membelenggu di fikirannya.
Ketepikan dahulu soal pertentangan pandangan dan pendapat, mari kita meneliti dengan jelas dan faham mengapa ia boleh terjadi. Mudahnya, saya menjawab: “Inilah fiqh!”
Mengapa saya menjawab sebegitu? Ini kerana atas dasar kefahaman Islam yang mendalam dari corak aliran atau sekolah pemikiran para ulama, maka terjadinya pelbagai pandangan yang sebenarnya bukanlah bertujuan memberikan kekeliruan kepada umat Islam, tetapi sebenarnya memberikan lebih banyak ruang dan tempat untuk kita mengamalkan Islam mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing.
Seperti agama Islam juga yang sifatnya adalah sempurna, fleksibel, rentas masa, zaman dan tempat, begitu jualah fiqh yang senantiasa mengalami perubahan demi perubahan hukum sesuai dengan peredaran zaman dan masa.
Bertitik tolak daripada inilah, ijtihad (keputusan hasil dari kajian yang mendalam) telah dilakukan oleh para ulama dari semasa ke semasa bagi memastikan hukum Islam sentiasa relevan, sesuai dan tepat dengan kehendak semasa agar Islam tidak mengalami kemunduran dan ketinggalan zaman. Sebagaimana disebut oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi: “Setiap zaman ada persoalannya sendiri, ada kejadian sendiri dan ada keperluan sendiri. Bumi ini (sentiasa) berputar, cakerawala beredar, alam bergerak dan jarum jam tidak pernah berhenti.”
Oleh kerana itu, kadangkala sesuatu hukum itu terpakai di sesuatu tempat itu sahaja, dan tidak menjadi relevan kepada tempat yang lain kerana tidak sesuai dengan keadaan tempat itu.
Hukum dan pandangan ulama
Untuk lebih jelas lagi, saya memberikan satu contoh. Hukum kepada seorang lelaki yang sudah berwudhuk menyentuh wanita yang ajnabi (yang boleh dikahwininya) menurut pandangan ulama kita (Imam Syafie) adalah batal wudhuknya meskipun tidak menimbulkan syahwat. Namun ada sebahagian mazhab yang lain menyatakan tidak batal melainkan jika sentuhan itu diiringi dengan syahwat.
Namun, hukum tersebut (bagi mazhab Syafie) mungkin lagi tidak boleh terpakai apabila kita sedang menunaikan ibadah Haji atau Umrah iaitu tatkala kita sedang menunaikan ibadah tawaf. Syarat sah tawaf mestilah mempunyai wudhuk (suci). Apa yang berlaku, di Masjidil Haram itu bercampur antara lelaki dan wanita yang mana hampir pasti akan berlaku sentuhan antara lelaki dan wanita! Oleh itu, jika kita menggunakan pandangan hukum mazhab Syafie, maka ia pasti akan menyusahkan yakni terpaksa berulang-alik keluar untuk mengambil wudhuk kerana tersentuh wanita. Cuba bayangkan jika seorang itu sudah berada pada tawafnya yang keenam, hanya tinggal satu lagi tawaf, lalu dia tersentuh wanita. Bukankah terpaksa mengambil wudhuk semula dan memulakan kembali ibadah tawafnya bermula dari yang pertama?!
Disebalik ibadah tawaf terdapat banyak hukum yang berkaitan dengannya.Maka di sini, Islam memberi kelonggaran kepada umatnya agar melaksanakan ibadah mengikut kemampuan. Kita dibenarkan menggunakan pandangan ulama lain yang sesuai dengan konteks dan keadaan ketika itu. Dalam isu diatas kita dibenarkan mengambil pandangan selain ulama dari mazhab Syafie yang lebih sesuai diguna-pakai untuk ibadah tersebut. Lihatlah betapa luasnya hukum fiqh.
Demikianlah kita melihat bagaimana peranan fiqh sangat besar kesannya kepada kehidupan manusia dan makhluk. Oleh kerana banyak dan luasnya permasalahan yang timbul kepada umat Islam kini, maka sangat perlulah ilmu fiqh ini berkembang luas.
Selagi mana ada manusia yang hidup, selagi mana teknologi berkembang dan selagi mana sesebuah negara menjadi pesat dan maju, selama itulah fiqh akan sentiasa menaungi dan mengejar zaman tersebut. Kita tidak perlu bimbang dengan pelbagai pandangan ulama yang lahir kerana kesemua itu sebenarnya memberikan kepada kita kesenangan, kemudahan dan kesempurnaan untuk melaksanakan ibadah khususnya, dan melaksanakan ajaran Islam secara umumnya.
Artikel asal :Memahami apa itu Fiqh