Monday, 4 November 2013

Kadang - kadang senyap itu membunuh

Kamu sedang berjalan mengambil angin petang di sebuah taman bersama teman kamu, secara tiba-tiba kedengaran suara seorang kanak-kanak perempuan " tolong saya, sesiapa tolong ! dia bukan bapa saya, tolong ! ", dan kamu melihat kanak-kanak perempuan itu ditarik seorang lelaki pertengahan umur " balik ! jangan main merata-rata" ... lelaki itu kelihatan mencurigakan, tetapi dia juga kelihatan seperti bapa kepada kanak-kanak perempuan tersebut. Sekarang kamu mempunyai pilihan, sama ada buat tak endah dengan situasi tersebut dan berharap akan ada orang lain yang menegur lelaki tersebut ataupun kamu sendiri yang menjadi penyelamat kanak-kanak perempuan tersebut.  

Sebelum membaca perenggan seterusnya, disini saya memberi pilihan objektif kepada anda berkaitan situasi di atas :
A) Berlari mendapatkan kanak-kanak perempuan tersebut sambil menyoal kepada lelaki dan kanak-kanak berkenaan apa yang terjadi
B) Telefon polis
C) Mengajak semua orang yang berada di taman untuk melihat apa yang terjadi
D) Melihat situasi dan berharap ada orang lain yang akan mengambil tindakan
E) Tidak mengendahkan dan buat-buat tak nampak


Dalam membuat pilihan di atas mungkin kita dipengaruhi dengan kudrat yang kita ada, jika A kemungkinan besar kita adalah lelaki yang gagah perkasa atau mungkin kerana kita sememangnya prihatin. Jika B mungkin kerana kita seorang yang bijak, mengelakkan diri dari menerima bencana kerana berkemungkinan lelaki tersebut adalah seorang penjenayah. Jika C, mungkin kerana kita percaya kepada kuasa kesatuan. Jika D mungkin kerana kita seorang budak kecil yang tiada kudrat, tiada handphone, dan tidak nampak ikhtiar. Walau apapun yang kita pilih, sama ada A,B,C, mahupun D, kita tidak mahu sekali menjadi seperti E. Kamu sendiri dapat menjawab mengapa kamu tidak ingin sekali menjadi seperti E.  Jika kamu meninggalkan akal dalam persoalan ini sekalipun kamu masih dapat menjawabnya menggunakan timbang tara hati.  Bagi saya, E bukan seorang manusia, dia adalah batu yang tidak bernyawa. 

Bagi kamu bagaimana ? Berikan masa 5 minit kepada diri kamu sendiri untuk membuat penilaian sebelum membaca perenggan seterusnya.




Di atas adalah misalan yang cuba saya gunakan untuk menggambarkan pilihan-pilihan yang ada ketika menghadapi situasi dunia.  Saya yakin sebagai manusia yang jelas fitrahnya sebagai manusia, tiada sesiapa yang mahu memilih E sebagai jalan, E akan membunuh kanak-kanak perempuan tersebut ! 

Mengapa saya katakan fitrah manusia itu tidak mungkin bertindak kejam dengan memilih jalan E ? Memetik dari artikel Dr. Asri Zainul Abidin :

Allah telah ciptakan manusia atas fitrah (natural instinct) yang menjadikan naluri manusia yang benar mempunyai persamaan sekalipun berbeza keturunan, tempat, zaman dan agama. Kezaliman umpamanya, ditolak dan dibenci oleh fitrah manusia tanpa mengira keturunan, tempat, waktu dan agama. Justeru itu, dalam semua cerita, drama dan filem yang diterbit oleh sesiapa sahaja di dunia ini samada oleh Hollywood, ataupun Bollywood mestilah mengakhirinya dengan kemenangan ataupun sokongan moral berada di pihak yang baik dan kekalahan di pihak yang jahat.
Jika ia love story seperti Titanic yang heronya mati pun, perasaan dan support moral filem tetap berada di pihak yang ditindas. Jika ada filem yang menyimpulkan watak jahat menang dan dimuliakan, sementara watak baik tewas dan dihina oleh kesimpulan filem, tentu ia tidak mendapat sambutan. Ia terkeluar dari naluri yang dibekalkan dalam jiwa insan. Padahal para penonton itu mempunyai latar keturunan, tempat dan agama yang pelbagai. Namun mereka berkongsi satu perkara yang sama dalam hal itu, iaitu fitrah insan menolak ketidakadilan dan kezaliman.
ANTI-ZALIM
Apa-apa ajaran yang mengiyakan kezaliman dan penindasan, ataupun ketidakadilan, ia terkeluar dari fitrah, dan sudah pasti ia bukan ajaran Tuhan yang menciptakan manusia atas fitrah. Apa sahaja fatwa agama, ataupun tindakan keagamaan yang menyanggahi fitrah, ia tersasar dari kebenaran. Perasaan insan yang betul fitrahnya sensitive dengan kezaliman dan ketidakadilan. Inilah yang Nabi s.a.w didik para sahabah baginda. Kata sahabah Nabi s.a.w yang bernama Jabir:
“Apabila pulang dari penghijrahan ke Habshah (Abyssinia), kami kembali kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda berkata: “Tidak mahukah kamu semua ceritakan kepadaku perkara paling menakjubkan yang kamu lihat di Habshah? Seorang pemuda berkata: “Wahai Rasulullah! Ketika kami duduk, seorang wanita mereka melintas, dia membawa atas kepalanya suatu bekas air. Dia melintas di hadapan seorang pemuda mereka, lantas pemuda itu meletakkan satu tangannya atas bahu wanita tua itu dan menolaknya sehingga jatuh melutut. Terpecahlah bekas airnya.
Apabila dia bangun, dia menoleh ke arah pemuda tersebut lalu berkata: Wahai pengkhianat! Apabila Allah meletakkan kerusiNYA, DIA menghimpunkan makhluk yang awal dan akhir, apabila tangan dan kaki boleh berbicara mengenai perbuatan yang telah mereka lakukan, kelak nanti kau akan tahu keadaanku dan keadaan kau”.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Wanita itu benar! Sesungguhnya wanita itu benar! bagaimanakah Allah akan memuliakan satu kaum yang tidak mengambil tindakan atas penindasan golongan yang kuat terhadap yang lemah?!” (Riwayat Abu Ya’la, Ibn Hibban dalam sahihnya dan Ibn Majah, hadis hasan).
Lihat pemuda ini, dalam banyak pemandangan yang dia saksikan sepanjang perjalanan yang jauh, isu kezaliman juga yang menarik perhatiannya. Ulasan Nabi s.a.w menegaskan betapa satu kaum tidak akan mulia jika membiarkan golongan yang kuat menindas yang lemah. Apakah akan mulia suatu negara jika kekayaannya dibolot oleh satu pihak secara yang tidak adil, sementara yang lemah merintih di sana sini mencari kehidupan. Apakah akan mulia jika ada penguasa yang mempunyai ratusan juta tanpa jalan yang sah, sedangkan rakyat marhaen bawahan bertarung dengan kehidupan yang payah?!

Dipetik dari : Cintakan Keadilan Itu Fitrah

Sayangnya, ketika berhadapan dengan situasi sang penguasa yang menindas rakyat, ramai diantara kita yang akan memilih jalan E. Selagi kita mampu makan untuk diri sendiri dan keluarga, kita tidak peduli dengan kebejatan yang berlaku. Kita bukan sahaja tidak bercita-cita atau berharap agar penindasan tersebut mempunyai pengakhiran, malah kita berfikir bahawa semuanya adalah biasa "salah kamulah, sapa suruh kamu tak berusaha...".

Jadilah A yang mengambil tindakan, bertanya (mengumpul maklumat) berkenaan apa yang terjadi, Jadilah B yang bijak menggunakan kemudahan, Jadilah C yang bersatu dalam kumpulan, jadilah sekurang-kurangnya D yang mengharapkan (bercita-cita) sebuah pengakhiran yang baik.  Jika wujud manusia-manusia A.B.C.D ini tentu sahaja kanak-kanak perempuan itu akan selamat. Bayangkan sahaja, jika semua orang di taman tersebut memilih jalan E .... seramai mana pun manusia dia taman tersebut, ianya tidak akan berguna jika mereka memilih E, hasilnya adalah " Seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun dijumpai mati di sebuah gudang tinggal berdekatan kampung Konoha semalam ..... ". 
mankind will die, because of our ignorant.

"All that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing." (Edmund Burke)


" Untuk kejahatan berkuasa, hanya memerlukan orang baik untuk tidak berbuat apa-apa"



Lagu dan video ini mungkin boleh memberikan anda inspirasi untuk mengubah dengan apa yang anda ada.


"Ada dua jenis orang jahat di dalam dunia, yang pertama adalah orang yang melakukan kejahatan, dan yang kedua ialah orang yang melihat kejahatan berlaku tetapi tidak berbuat apa-apa tentangnya"

Firaun pernah ditanya:

Angkuhmu mengapa terlalu?

Dengan cepat jawabnya:
Tiada siapa yang menyekatku.
- A Samad Said
Dari rujukan  Dr. Asri Zainul Abidin : Hukum Memerangi Pemerintah Muslim

“Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat Muslim).
“Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat yang lain: yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).