Friday, 13 September 2013

Sabar bukan pasrah

Ketika kita ditimpa sesuatu musibah dan kemudian dipesan untuk bersabar, apakah yang berada dalam fikiran kita ketika itu? Kebanyakkan orang menyalah tafsir maksud sabar sehingga jikalau kita disuruh bersabar kita menyangka bahawa kita disuruh untuk menyerah. Walhal sabar itu mempunyai makna yang besar sehingga dijadikan nilaian bagi mengukur keimanan seseorang. 

"Kesabaran adalah bertahan dalam mengerjakan perintah Tuhan dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang Tuhan." - Muhammad bin Shalih al-munajjid, dipetik dari Rusdin S. Rauf




Kita selalu menyangka bahawa sabar, tawakal dan pasrah itu mempunyai makna yang sama walhal ia sememangnya berbeza.  Secara peribadinya, aku tak suka jika disamakan antara sabar dan pasrah. Ia seolah-olah menyuruh untuk berputus asa tanpa melakukan apa-apa usaha terhadap musibah yang berlaku.  Walaupun kita seharusnya menerima bahawa apa yang berlaku adalah takdir dari Allah, namun Allah juga menyuruh kita untuk berusaha.  Seperti yang dipetik dari Dr.MAZA :

Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya)

(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).

Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya. 



Bagi aku, Sabar bukanlah bermakna menerima apa yang berlaku secara tidak bertanggungjawab dan berputus asa, Sabar ialah menerima takdir Allah dengan penuh rasa syukur kerana yakin dengan hikmah Allah berikan pada hambanya dan seterusnya bersedia untuk bertanggungjawab bagi memperbaiki situasi. 
Orang yang bertanggungjawab tidak akan merungut dan malas dalam tugas.  Sabar sangat jauh dari erti pasrah. Tetapi ia dekat dengan redha. Aku suka dengan kenyataan Rusdin S. Rauf bagi mentakrif maksud sabar dalam bukunya Quranic Law of Attraction :


"Sabar bermakna menahan diri daripada menyerah ataupun dalam perkataan lain, mesti terus berusaha.  Sabar bukan bermakna berhenti berusaha ataupun bekerja.  Sabar dalam berusaha bermakna menahan diri daripada putus asa dan tetap bersemangat dalam bekerja serta tidak bersikap malas." 


Jika sabar itu dekat dengan pasrah, ia seolah-olah menyuruh kita untuk menyerah kalah dan berputus asa. Sedangkan agama menyuruh kita untuk berusaha dan meyakini hikmah Allah.  Ada yang cakap syukur itu kadangkala lebih tinggi dari sabar. Bagi aku pula,sabar tidak mungkin dicapai tanpa syukur, dan syukur juga tidak mampu dicapai tanpa sabar. 


" Hakikat syukur adalah mengakui nikmat Tuhan dan menggunakannya bertepatan dengan keredaanya.  Manakala hakikat sabar pula adalah tenang di bawah kekuasaan takdir tanpa mengeluh di hadapan makhluk dan putus asa pada kurniaan Tuhan. " (Ibnu Ad-Diba' Asy-Syaibani, Mukaffiratudz-Dzunub wa Mujibatul Jannah) dipetik dari Quranic Law of Attraction.




Agak aneh jika kita mengatakan orang yang kuat semangatnya dan susah untuk berputus asa itu gelojoh dan tidak sabar.  Walhal sikap optimistik mereka itu sendiri datang dari kesabaran, sabar dengan cabaran.