Allahumma, la ilaha illa anta. Subhanaka, inni kuntu minazzhalimin – ya Allah, tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sungguh aku ini termasuk orang-orang yang zalim

Friday, 3 January 2014

Al-Imam : As-syahid sayyid Qutb


TEMUI SYAHID DI TALI GANTUNG

Oleh Amar Gadaffi




Setelah jatuhnya kerajaan Khilafah Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924, umat Islam seolah-olah seperti anak yang kehilangan bapa. Gerakan-gerakan nasionalis yang didalangi oleh penjajah Barat mula mendapat tempat dan kuasa di dalam pemerintahan Negara terutama nya Turki, Mesir dan Negara-negara Arab yang lain.

Saat inilah sebahagian umat Islam yang masih setia pada corak pemerintahan Islam muncul di Mesir. Mereka menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan ‘Ikhwatul Muslimin’ (Persaudaraan Islam) bagi memperjuangkan ideologi Islam dan membawa umat seluruhnya kembali ke pangkal jalan.

Ikhwatul Muslimin yang mempunyai pengaruh besar ke atas kebangkitan Islam ini diasaskan oleh Hasan al-Banna. Antara pejuang yang mewakafkan dirinya dalam pertubuhan yang menjadi sumber inspirasi gerakan Islam seluruh dunia waktu ini ialah Sayyid Qutb rahimahullah.


Sayyid Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 disebuah desa bernama Moshah dalam wilayah Assyut, di Hulu Mesir.Nama penuhnya ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Shazali. Bapanya dari keturunan keluarga yang berada dan dihormati di daerahnya serta berkelulusan Al-Azhar. Manakala ibunya ,Fatimah Hussain Uthman,juga berasal dari keluarga berada dan terhormat.

Walaupun dilingkungi dengan kekayaan dan dihormati masyarakat , kedua-dua ibubapa Sayyid Qutb hidup penuh kesederhanaan dan amat taat kepada ajaran Islam. Dari kedua-dua ibubapa yang mulia inilah Sayyid Qutb muncul menjadi seorang ulama dan mujahid Islam yang terbilang di abad ke-20.

PENDIDIKAN

Sayyid Qutb mula mendapat pendidikan  awal di rumah. Ibubapanya yang kuat beragama telah mendidiknya dengan pendidikan dan persekitaran Islam.Bapanya menanam dasar aqidah yang kukuh didalam jiwa Sayyid Qutb terutama tentang hari Akhirat dan akhlak Islam.Manakala pengajian Al-Quran dipelajari dari ibunya yang begitu rajin membaca wahyu Allah itu.

Ketika berumur enam tahun  , Sayyid Qutb mengikuti pengajian sekolah rendah dikampungnya. Disini kebolehannya yang luar biasa telah dapat dikesan oleh para gurunya.Terbukti tanggapan para guru Sayyid Qutb adalah tepat apabila beliau berjaya menghafal Al-Quran dalam tempoh dua tahun sahaja sewaktu umurnya baru mencapai 10 tahun.

Setelah menamatkan pengajian peringkat rendah ,Sayyid Qutb berangkat ke Kaherah pada tahun 1920 ketika berumur 14 tahun.Disini , beliau memasuki Sekolah Latihan Perguruan Rendah Abdul Aziz.

Ketika ini beliau menerima ujian hebat apabila bapanya meninggal dunia dan keluarganya didesa jatuh miskin .Keadaan itu menyebabkan Sayyid Qutb hampir-hampir meninggalkan pengajiannya .Namun ibunya melarang kerana mahukan beliau menjadi orang berguna suatu hari nanti.

Pada tahun 1928 ,Sayyid Qutb melanjutkan pengajiannya di Dar al-Ulum , sebuah universiti terkenal di Kaherah.Sewaktu di Dar al-Ulum ,beliau mengikuti kursus kesusasteraan Arab,Syariah ,Sejarah Geografi , Kimia ,Fizik , Falsafah dan Pendidikan .

Pada tahun 1933 , sewaktu berusia 27 tahun beliau berjaya menunaikan amanah ibunya dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Diploma Pendidikan.

KERJAYA

Setelah menamatkan pengajiannya di Dar al-Ulum , Sayyid Qutb terus berkhidmat sebagai guru sehingga 1939. Beliau memulakan kerjaya perguruannya di Bani Suif , kemudian bertukar ke Dimyat,dua tahun di pusat Bandar Kaherah dan akhirnya di Helwan.

Selain terlibat dengan alam persekolahan , Sayyid Qutb turut berkecimpung dalam dunia penulisan . Peluang untuk nya menulis terbuka luas menerusi akhbar milik parti al-Wafd,pimpinan Abbas Mahmud Aqqad , seorang sasterawan besar dan pemimpin politik berfahaman sosialis.

Pada waktu ini, pandangan Sayyid Qutb banyak terpengaruh dengan pemikiran Aqqad sehingga beliau hampir tergelincir dari pegangan agama yang ditanam oleh kedua ibu bapanya sejak kecil lagi.Malah beliau bertindak menyokong aliran sastera Aqqad yang menolak seni sastera yang terdapat di dalam Al-Quran.

Selain itu,kesibukan nya dengan dunia pendidikan dan penulisan menyebabkan Sayyid Qutb mengabaikan soal rumahtangga . Beliau juga tidak melibatkan diri dalam arus reformasi politik semasa khususnya yang dipelopori oleh Ikhwan Muslimin. Malah banyak tulisannya yang tidak dipersetujui oleh anggota-anggota Ikhwan.

Namun begitu, Mahmud Abdul Halim dalam bukunya ‘Al-Ikhwan al-Muslimun’ menyatakan bahawa Hassan al-Banna, seorang pendakwa yang bijak dan berpandangan jauh, menaruh keyakinan yang tinggi bahawa suatu hari kelak Sayyid Qutb pasti akan memimpin perjuangan Ikhwan Muslimin.

Ternyata harapan besar Hasan al-Banna terhadap Sayyid Qutb terkabul jua akhirnya. Pada tahun-tahun 1940-an, pandangan-pandangan Sayyid Qutb diterjemahkan menerusi tulisan-tulisan nya menampakkan perubahan besar.

Antaranya ialah karyanya yang bertajuk ‘At-Taswir al-Fanni fi Al-Quran yang mengupas tentang kesenian ayat-ayat Al-Quran dan sekaligus menolak aliran Aqqad yang menentang ‘Ijaz Al-Quran.

Sebuah lagi buku yang membuktikan kembali nya Sayyid Qutb berpegang pada Ideologi Islam ialah ‘Al-Adalah al-Ijtimaiyyah fi al-Islam’ yang ditulis pada tahun 1949 sebelum keberangkatannya ke Amerika.

Hasan al-Banna ketika mengulas karya Sayyid Qutb tersebut berkata,’Idea ini sama dengan idea kita (Ikhwan Muslimin) . Seharusnya pengarang ini adalah salah seorang dari kita.’

Idea pembaharuan yang dibawa oleh Sayyid Qutb ini tidak disenangi oleh Menteri Pelajaran Mesir.Ini menyebabkan dia ditukar ke pelbagai tempat sehingga ke Amerika atas tugasan menjalankan penyelidikan.

Bagaimanapun, segala cadangan yang dikemukakan oleh Sayyid Qutb berdasarkan kerja-kerja penyelidikannya ditolak mentah-mentah , terutama pandangannya bahawa system pendidikan Amerika tidak sesuai diimplementasikan di Mesir kerana ia didasarkan atas fahaman materialisme.

Sayyid Qutb kemudiannya meletakkan jawatan tidak lama selepas kembali dari Amerika. Waktu inilah beliau menggunakan sepenuh masanya mengkaji keperibadian Hasan al-Banna dan membaca setiap karya pemikir agung tersebut.

MENYERTAI IKHWAN MUSLIMIN

Ketika Sayyid Qutb berada di Amerika pada tahun 1949, Hasan al-Banna menemui ajalnya di Mesir akibat dibunuh oleh para musuhnya dijalan Allah.Syahidnya Hasan al-Banna meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Sayyid Qutb walaupun beliau belum pernah bertemu dengan Hasan al-Banna sebelum itu.

Beliau melihat sendiri kegembiraan masyarakat Barat yang bertepuk tangan menyambut berita kematian Hasan al-Banna. Timbul kesedaran dalam diri Sayyid Qutb betapa mulianya perjuangan al-Banna dan rakan-rakannya disisi Allah sehingga begitu benci oleh pihak kuffar laknatullah dan para tali barutnya yang memakai nama Islam tetapi hanya sekadar pada nama.

Apabila kembali dari Amerika , Sayyid Qutb lantas mengkaji tentang Ikhwan Muslimin dan ideologi perjuangan pengasasnya , as-Syahid Hasan al-Banna.

Setelah menyedari bahawa gagasan al-Banna adalah penerus kepada perjuangan yang dibawa oleh Muhammad s.a.w., beliau berjanji kepada Allah untuk memikul amanah perjuangan al-Banna walaupun terpaksa menghadapi kematian dengan cara yang sama.

Sayyid Qutb mula menyumbangkan tulisannya dalam majalah-majalah terbitan Ikhwan Muslimin seperti ‘Ad-Dakwah’ dan ‘Al-Mabahith’.Bagaimanpun,beliau masih belum memberi bai’ah sebagai anggota Ikhwan Muslimin.

Akhirnya, saat yang bersejarah itu tiba jua. Pada tahun 1951, Sayyid Qutb mengangkat Bai’ah menyertai Ikhwan Muslimin secara rasmi yang diibaratkan oleh beliau sendiri tahun kelahirannya semula.

Ikhwan selepas era Hasan al-Banna bernasib baik kerana terus dipimpin oleh tokoh-tokoh yang berkarisma . Mursyidul Amnya ialah Hasan Hudaybi dan Abdul Qadir Awdah sebagai Setiausaha manakala Sayyid Qutb berperanan sebagai ideologi Ikhwan Muslimin , dimana karya-karyanya menjadi rujukan utama anggota Ikhwan sesudah Hasan al-Banna.

Pada tahun 1952, berlaku revolusi rakyat di Mesir bagi menggulingkan pemerintahan beraja. Revolusi tersebut dipelopori oleh gerakan Dubbat al-Ahrar pimpinan Gamal Abdul Nasser dan dibantu oleh Ikhwan Muslimin.

Sesudah kerajaan revolusi dibentuk , Sayyid Qutb mendapat kedudukan istimewa . Tetapi disebabkan perjuangannya agar kerjaan melaksanakan dasar pemerintahan Islam ditolak , beliau telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha AgungMajlis Revolusi.

Kemudiannya, berlaku pertembungan ideologi yang semakin ketara antara Dubbat al-Abrar dan Ikhwan Muslimin. Akhirnya, Ikhwan Muslimin dan para pendokongnya telah dianggap sebagai musuh nombor satu Negara oleh Gamal Abdul Nasser.

Ramai anggota Ikhwan Muslimin yang keluar masuk penjara malah dijatuhkan hukuman mati termasuk Hasan Hudaybi, Abdul Qadir Awdah, Syeikh Muhammad Farghalidan Sayyid Qutb sendiri.

KARYA

Sepanjang hayatnya, Sayyid Qutb telah menghasilkan lebih dua puluh buah karya yang meliputi pelbagai bidang. Penulisan buku-buku nya juga berkait rapat dengan perjalanan hidupnya . Di era sebelum 1940-an , beliau banyak menghasilkan buku-buku sastera yang sunyi dari unsur-unsur agama. Ini terbukti melalui ‘Muhimmah as-Syair fil Hayah’ pada tahun 1933 dan ‘Naqd Mustaqbal ath-Thaqafah fi Misr’ pada tahun 1939.

Pada tahun 1940-an , Sayyid Qutb mula menerapkan unsur-unsur agama didalam karya-karyanya. Melalui ‘At-Taswir al-Fanni fi Al-Quran’ (1945) dan ‘Masyahid al-Qiyamah fi Al-Quran’ (1947), beliau membuktikan bahawa didikan orang tuanya masih tersemat kukuh dalam sanubarinya.

Pada tahun 1950-an, Sayyid Qutb mula membicarakan soal keadilan , kemasyarakatan dan fikrah Islam yang suci menerusi ‘Al-Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam (Sistem Keadilan Kemasyarakatan di dalam Islam), ‘Ma’rakah al-Islam wa ar-Ra’s al-Maliyyah’ (Pertembungan dianatara Islam dan Materialisme ).

Selain itu, beliau turut menghasilkan ‘Fi Zilal Al-Quran’ (Dibawah Naugan Al-Quran) dan ‘Dirasat Islamiah’ (Pengajaran Islam). Karya ‘Fi Zilal Al-Quran’ merupakan sebuah kitab tafsir yang tinggi mutunya pernah dihasilkan di abad ke-20 ini.

Semasa dipenjarakan dari tahun 1954 hingga 1966, Sayyid Qutb masih terus menghasilkan beberapa buah buku yang mengandungi pengajaran dan nasihat yang tidak ternilai harganya terutama kepada pendokong-pendokong gerakan Islam di seluruh dunia.

Buku-buku beliau yang dihasilkan didalam penjara termasuklah ‘Hadza ad-Din’ (Agama Ini), ‘Al-Mustaqbal li Hadz ad-Din’ (Masa Depan Agama Ini) , ‘Khasais at-Tasawwur al-Islami wa Muqawwimatihi’ (Ciri-ciri Tasawur Islam dan Musykilah al-Hadarah’ (Islam dan Permasalahan Semasa) dan ‘Fi Zilal Al-Quran’ (cetakan kedua).

Sebelum menjalani hukuman gantung , Sayyid Qutb menghasilkan mutiara ilmu terakhirnya yang diberi nama ‘Ma’alim fi at-Tariq’ (pertunjuk Sepanjang Jalan). Buku ini dengan jelas membicarakan konsep Rububiyyah,Uluhiyyah dan Hakimiyyah Allah didalam soal aqidah, kemasyarakatan, pemerintahan Negara dan seluruh aspek hidup manusia dimuka bumi.

Didalam ‘Ma’alim fi at-Tariq’, Sayyid Qutb membahaskan dengan terperinci berkenaan dengan permasalahan sebenar umat Islam yang hanyut dengan dengan cara hidup Barat.Beliau juga menjelaskan konsep ketuhanan Allahyang hakiki dan manusia sebagai hamba kepada Pencipta dan Pengatur yang Maha Agung.

Khazanah ilmu ini menjadi harta pusaka terakhir Sayyid Qutb yang diwariskannya bukan sahaja kepada anggota-anggota Ikhwan Muslimin bahkan kepada seluruh umat Islam . Pahit maung perjuangan beliau yang penuh liku dalam mengembalikan semula hak Allah kepada Allah yang telah dirampas oleh manusia yang zalim menjadi pemangkin kepada perjuangan ahli-ahli gerakan Islam kini.

KEMATIAN

Pada tahun 1965, Sayyid Qutb telah dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan merancang rampasan kuasa. Pertubuhan dan pemimpin masyarakat Islam sedunia dengan segera mengemukakan rayuan kepada Gamal Abdul Nasser agar membatalkan hukuman mati tersebut.

Antara mereka yang merayu itu ialah wakil Jamaat Islami dan Liga Islam Pakistan, Kesatuan Ikatan Islam Britain, Majlis al-Ummah Tunisia, Putera Mahkota Jordan, Pengerusi Parti Kemerdekaan Magribi, Fathi Yakan, seorang ulama berpengaruh dari parti Islam Lubnan dan pelbagai pertubuhan yang lain.

Kesemua mereka ini menyedari bahawa tindakan kejam Gamal Abdul Nasser memfitnah Sayyid Qutb hanyalah semata-mata untuk mempastikan survival pemerintahannya yang semakin terancam oleh sambutan hebat masyarakat awam kepada fikrah dan perjuangan Ikhwan Muslimin.

Sebelum perlaksanaan hukuman dijalankan , Presiden Gamal Abdul Nasser menghantar utusannya meminta Sayyid Qutb menulis pernyataan memohon maaf. Jika setuju, beliau akan dibebaskan dari hukuman gantung tersebut.

Namun dengan bermaruah Sayyid Qutb menegaskan,”Telunjuk yang bersyahadah setiap kali solat bahawa “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammaditu pesuruh Allah’,tidak mungkin akan menulis suatu perkataan yang hina. Jika aku dipenjarakan kerana benar, aku redha. Tetapi jika aku dipenjarakan angkara kezaliman puak batil, aku tidak akan memohon rahmat dari kebatilan.”

Akhirnya, pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb telah digantung sampai mati bersama-sama dua orang sahabatnya, Abdul Fatah Ismail dan Muhammad Yusuf Hawash.

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Sayyid Qutb telah meninggalkan wasiat kepada adik kesayangannya, Aminah. Sebagai seorang pejuang tulen, beliau tidak mewasiatkan harta benda tetapi yang diwasiatkannya ialah amanat perjuangan….

“Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita, hidup kerana fikrah,sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini.

Jika kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi hinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang,” as-Sayyid Qutb rahimahullah.

Nasyid yang diadaptasi dari puisi karangan as-syahid Sayyid Qutb